Assalamualaikum Dan Hye. ..
Diceritakan oleh Mohamad Sidik pada pada 7hb Oktober 2012 pukul 12.14 ptg
Malam tadi setelah keluar dari masjid seusai selesai solat Isyak di
masjid berdekatan dengan rumah, saya berjalan kaki seorang diri pergi ke
sebuah kedai makan untuk makan malam. Pengunjung di kedai makan yang
saya tuju itu agak ramai dan boleh dikatakan hampir kebanyakan meja di
kedai tersebut sudah penuh. Saya memilih untuk duduk di salah sebuah
meja di bahagian paling hujung seorang diri yang ketika itu tiada orang
di meja tersebut. Apabila pelayan datang saya pun memesan makanan yang
saya mahu. Selepas beberapa ketika pelayan tersebut pergi datanglah pula
seorang gadis muda berkulit cerah berjubah dan bertudung hitam gaya
wanita Arab ke meja saya seraya bertanya,
"Tuan, boleh saya duduk di sini..? Kamu lihat, tempat-tempat di meja lain semua sudah penuh.."
"Oh, ok.. tak mengapa. Silakan duduk.." jawab saya agak terkejut
dengan sapaan gadis itu. Perbualan kami dalam bahasa Inggeris.
Kemudian pelayan datang kepadanya dan dia hanya memesan 'fresh orange'
untuk minuman. Apabila pelayan pergi saya memberanikan diri bertanya
kepadanya dengan rasa pelik, "Kamu seorang diri sahaja? Dan kamu
kelihatan bukan orang Malaysia, bukan?"
Dia mengangkat
wajahnya dari telefon pintarnya ke arah saya lalu menjawab dengan
tersenyum, "Oh saya dari Korea Selatan, dan saya ingin ke rumah seorang
kawan.."
"Oh Korea Selatan.. sekarang negara itu sedang
'famous' dengan tarian Gangnam Style.." jawab saya spontan bersahaja
sambil tersenyum dan menganguk-angguk sendirian tatkala mata gadis itu
kembali ke telefon pintarnya sambil menggerak-gerakkan jarinya di atas
skrin sesentuh dan kadangkala dia juga tersenyum seorang diri melayan
sesuatu dari telefon pintarnya.
"Gangnam Style..? Apa yang
kamu tahu tentangnya.. ia tarian yang dilaknat Tuhan. Saya menganggapnya
diilhamkan oleh Iblis kepada artis itu." jawabnya dengan nada yang
tegas dan berani.
"Oh ok ok, minta maaf..saya tak bermaksud menyinggung perasaan kamu.." jawab saya serta-merta.
Perbualan terhenti seketika beberapa lama. Selepas kira-kira 15-20
minit pelayan kembali datang dengan membawa pesanan saya dan minuman
gadis itu.
"Kamu mahu tahu apa yang saya tahu tentang Gangnam?" tanya gadis kembali itu kepada saya.
"Jika kamu berminat untuk bercerita kepada saya, saya akan
mendengarnya…" jawab saya dengan tenang sambil mula menghirup jus
tembikai susu yang saya pesan.
"Ok sekejap beberapa minit, selepas
saya membalas mesej-mesej ini.." jawabnya sambil jari-jemarinya ligat
bermain di dada skrin telefon pintarnya.
Saya hanya
mengangguk-angguk sambil mengangkat kening dan mula menyuap makanan
dengan sudu ke dalam mulut walaupun saya sedar bahawa memakan dengan
menggunakan tangan itu lebih menepati Sunnah Rasulullah SAW.
"Baik, sekarang saya akan bercerita tentangnya.. ia sesuatu yang menarik tetapi pelik dan menakutkan." kata gadis itu kembali.
"Ok, seakan-akan ada satu perkara besar yang kamu ingin sampaikan
kepada saya." jawab saya kembali sambil mulut mengunyah nasi.
Kemudian dia diam kira-kira sepuluh saat, mengambil nafas lalu memulakan ceritanya kepada saya,
"Di Gangnam ada satu pertandingan pelik yang diadakan untuk
gadis-gadis muda untuk menjadi perempuan-perempuan simpanan bagi
orang-orang kaya dan para jutawan. Kebanyakan gadis muda yang menyertai
pertandingan tersebut adalah mereka yang ingin mencuba nasib apabila
gagal mendapat tempat dalam pekerjaan atau terlalu teruja untuk
menikmati hidup mewah bersama orang-orang kaya… mereka dijanjikan dengan
hadiah yang sangat lumayan, kereta mewah, jet peribadi dan rumah besar
seperti istana dengan kolam renang jika memenangi pertandingan
tersebut."
Kemudian dia diam lagi... kali ini dia pula meminum minuman 'fresh orange'.. dia diam dengan agak lama tanpa berkata apa-apa.
"Ok, kemudian..?" tukas saya lagi ingin tahu.
"Oh, ia sesuatu yang amat dahsyat dan keji dan saya hampir tidak mahu
menceritakannya kepada kamu. Tapi saya akan cuba ceritakannya juga agar
kamu dapat tahu apa kisah benar yang berlaku.." sambungnya lagi.
"Iya, sila sambung lagi... saya memang ingin tahu tentangnya." balas saya lagi.
"Ok... Pertandingan itu, untuk sampai ke tempat pertandingan
tersebut, para peserta yang terdiri daripada perempuan-perempuan muda
yang cantik masing-masing dikehendaki menunggung seekor kuda kira-kira
500 meter dari tempat para peserta berkumpul ke tempat pertandingan yang
merupakan sebuah istana besar dan mewah milik seorang jutawan di
Gangnam. Kamu bayangkan, mereka semuanya menunggang kuda dengan memakai
kasut tumit tinggi, baju jarang dan skirt singkat yang seksi sambil
diiringi pihak penganjur pertandingan dengan helikopter.."
"Setelah sampai di sana mereka disambut oleh pihak penganjur di istana
itu dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan akan melalui
dua laluan yang berbeza. Pertandingannya ialah laluan berhalangan untuk
sampai ke destinasi yang terakhir. Ia seperti pertandingan dalam
rancangan ‘Wipe Out’ di dalam TV jika kamu pernah melihatnya. Setelah
sampai di destinasi terakhir pula, para peserta yang berjaya dari dua
kumpulan itu akan bertarung pula sesama sendiri. Jika pihak lawan tewas
maka peserta yang masih bertahan akan dianggap sebagai pemenang dan
mendapat wang bernilai jutaan USD. Laluan berhalangan itu sangat
berbahaya, namun para peserta hanya melakukannya dengan memakai kasut
tumit tinggi dan pakaian seksi mereka sambil disaksikan dan disorak oleh
para jutawan yang melihat aksi-aksi mereka tersebut dari sebuah ruang
balkoni bilik mewah di istana tersebut. Saya tidak pasti ianya dirakam
ataupun tidak."
Terus-terang, ia adalah pertandingan membunuh diri yang paling gila…"
"Ok, kemudian.. apa yang berlaku?" tanya saya mencelah dengan rasa teruja.
"Satu ketika di salah satu trek, para peserta dikehendaki memanjat
palang-palang besi untuk melintasi salah sebuah menara di istana
tersebut, palang tersebut sangat tinggi dan di bawahnya ada kolam
renang. Di satu sudut yang lain, para jutawan pula menyaksikan aksi-aksi
peserta dari dalam sebuah bilik mewah sambil menikmati hidangan dan
minuman arak yang mahal bersama gadis-gadis mereka."
"Ramai
perserta ketika itu yang terjatuh ke bawah ketika cuba memanjat
palang-palang besi tersebut. Ada yang terhempas ke lantai dan kepalanya
pecah. Ada yang patah tangan dan kaki. Ada yang pecah badannya. Kolam
renang tersebut penuh dengan darah dan ada yang mati lemas ketika jatuh
ke dalamnya setelah gagal untuk berenang keluar dari kolam renang yang
dalam tersebut. Mereka semua para gadis yang tidak berupaya dan mereka
sangat kasihan."
"Yang lebih keji daripada itu, mereka yang
tercedera ketika itu langsung tidak dibantu.. malah dibiarkan sahaja
untuk disorak dan ditertawakan oleh para jutawan yang melihat mereka
sepanjang pertandingan. Akhirnya apa yang saya tahu, hanya dua orang
gadis sahaja yang berjaya melepasi laluan itu daripada keseluruhan 30
orang gadis yang menyertainya... saya dikhabarkan walaupun dua gadis
itu akhirnya berjaya, mereka kini hidup dengan trauma dan penuh
ketakutan di sisi para jutawan gila tersebut. Mereka kini hidup seperti
hamba di dalam istana zaman purba. Tiada tamadun dan tiada akhlak...
hanya menjadi hamba suruhan lelaki-lelaki kaya yang merantai hidup
mereka sahaja. Lebih malang lagi gadis-gadis yang sudah terjerumus ke
sana tidak boleh lari daripada golongan kaya gila itu. Jika cuba untuk
lari kemungkinan mereka akan dibunuh."
Sampai di sini
tiba-tiba gadis itu sebak... wajahnya berubah dan air matanya
serta-merta mengalir laju dan menangis teresak-esak.
Saya sudah tentu sangat terkejut dengan perubahannya secara tiba-tiba itu, dan cuba memujuknya,
"Hey, please don't cry here… people will look to us. Please calm down.
I'm sorry so much to make you telling me this story…" kata saya
kepadanya perlahan dengan suara hampir berbisik.
Namun saya
membiarkannya dengan keadaannya itu untuk beberapa ketika. Kemudian saya
berkata kepadanya, "Saya tak tahu apa sebenarnya yang membuatkan kamu
menangis, tapi saya minta maaf banyak-banyak kerana disebabkan saya kamu
menangis. Sebenarnya saya sangat terkejut mendengar cerita kamu. Ia
sesuatu yang sangat dahsyat yang belum pernah saya mendengarnya sebelum
ini.."
Ia ok... ia ok... ia ok... (sambil mengesat air
matanya dengan sapu tangan miliknya)... maafkan saya kerana tiba-tiba
bersikap pelik tadi. Kamu tahu, salah seorang gadis yang mati kerana
pecah badannya ketika jatuh di pinggir lantai kolam renang itu ialah
adik perempuan saya sendiri... Ibu saya membunuh diri kerananya dan
bapa saya menjadi gila. Setelah ibu saya membunuh diri bapa saya sakit
selama berbulan-bulan lalu akhirnya meninggal dunia."
Pada
waktu ini dia kembali diam beberapa minit… saya pula tergumam dan tidak
terkata apa-apa… setelah itu dia menarik nafasnya dalam-dalam lalu
menyambung kembali kisahnya,
"Ibu-bapa saya hanya memiliki
dua orang anak perempuan dan adik saya sudah menjadi mangsa kepada nafsu
gila orang-orang kaya Korea."
"Sejurus selepas tamat
pertandingan tersebut, saya dihubungi seorang wanita yang memberitahu
bahawa adik saya telah pengsan dan cedera parah kerana kemalangan dan
saya dikehendaki ke hospital untuk melihatnya. Wanita itu menyatakan dia
mendapat nombor telefon saya daripada adik saya. Apabila saya dan
ibu-bapa saya tiba ke hospital, kami dikhabarkan adik saya telahpun
meninggal dunia. Saya memarahi wanita tersebut dan mendesaknya
bertubi-tubi untuk menceritakan kisah sebenar kepada saya... dan
akhirnya selepas beberapa hari dia menceritakan keseluruhan kisah ini
kepada saya. Setelah tahu kisah sebenar, kami sekeluarga meraung dan
menangis macam orang gila kerana tidak pernah menyangka adik saya
sanggup menyertai pertandingan gila tersebut hanya untuk hidup mewah
sebagai gadis simpanan orang-orang kaya. Namun wanita itu berkata ia
adalah pilihan adik saya sendiri."
"Beberapa minggu kemudian
ibu saya membunuh diri pada satu malam dengan menelan aspirin sebanyak
200 biji. Keesokan harinya ibu saya koma dan apabila saya dan bapa
menghantarnya ke hospital, pada malam harinya dia meninggal dunia. Bapa
saya pula selepas itu sakit jiwa sebelum mengalami sakit tenat yang
membawanya meninggal dunia. Saya pula hidup tidak menentu dan mujurlah
masih mempunyai seorang sahabat wanita beragama Islam yang terus
berjuang agar saya dapat meneruskan kehidupan dengan tabah.
Berulang-ulang kali dia mengingatkan kepada saya bahawa kehidupan ini
adalah anugerah Tuhan dan orang yang beriman tidak akan berputus asa."
"Dan kerana itu saya melihat kamu kini sebagai seorang Muslimah..?" saya mencelah ceritanya.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada Tuhan. Sahabat saya itu telah
membawa saya berjumpa dengan seorang imam di bandar Seoul untuk
memulihkan semangat hidup saya. Imam itu mula bercerita kepada saya
tentang Allah, Islam dan Nabi Muhammad. Saya menerima segala ajarannya
dengan lapang hati seakan-akan ia satu-satunya pilihan yang ada. Benar,
Islam adalah satu cahaya yang sangat terang seperti matahari dan
mendamaikan seperti bulan purnama yang kembali menyuluh seluruh hidup
saya dan saya terus berubah kepada agama ini tanpa ragu-ragu. Dan kamu
tahu tak, jiwa saya berasa sangat-sangat tenang dan damai ketika
mendengar ayat-ayat Al-Quran yang berkumandang di ibu pejabat markaz
Islam di bandar Seoul. Imam itu salah seorang ahli pengurusnya. Saya
tidak pernah mendengar muzik-muzik yang sangat indah seperti ayat-ayat
Al-Quran sebelum ini dalam hidup saya."
Kini suara gadis itu
kembali gagah seraya berkata, "Alhamdulillah, saya bersyukur kerana
diselamatkan Tuhan dan kembali dihidupkan semula sebagai seorang Islam
setelah saya kehilangan segala-galanya akibat kekeringan jiwa masyarakat
dunia terutama masyarakat Korea yang hidup sesat tanpa agama. Mereka
semua telah sesat tanpa panduan hidup yang benar daripada Tuhan."
Setelah itu dia diam dan meminum minumannya...
"Kisah kamu amat menarik tetapi menakutkan. Adakah kamu sudah
mengambil tindakan undang-undang bagi pihak adik kamu, atau
melaporkannya kepada media atau berbuat sesuatu?" ujar saya kembali
kepadanya.
"Lupakan sahajalah, saya sudah melaporkannya
kepada pihak polis, sudah menceritakannya kepada beberapa orang wartawan
dan melaporkannya secara bersumpah kepada beberapa orang peguam. Pihak
polis enggan melakukan pendakwaan kerana tiada bukti-bukti yang kukuh
mengenainya. Tiada video dan tiada saksi-saksi lain yang mahu tampil
kepada pihak berkuasa selain saya. Mungkin ada namun ia tidak memadai.
Wanita yang membawa adik saya ke hospital itu juga sudah menghilangkan
diri. Saya cuba menghubungi nombor telefon bimbitnya berali-kali namun
dia tidak dapat dihubungi. Kali terakhir saya mendengar tentangnya
melalui seorang peguam yang mendapat khabarnya daripada seorang detektif
polis ialah dia sudah meninggal dunia akibat kemalangan. Para peguam
lain dan wartawan yang saya ceritakan kisah ini kepada mereka kesemuanya
telah diugut untuk tidak mendedahkannya kepada umum. Mungkin begitu
juga yang terjadi kepada mangsa-mangsa yang lain. Laporan polis di sana
pula menyatakan gadis-gadis yang meninggal dunia akibat cedera parah itu
adalah kerana rabung palang-palang besi di istana itu roboh ke bawah
ketika mereka semua sedang berada di atasnya kerana ketika pihak polis
sampai di sana palang-palang besi itu sudah pun dirobohkan. Manakala
mangsa-mangsa yang masih hidup setelah kecederaan masih mengalami trauma
yang dahsyat dan ada yang cacat seumur hidup walaupun mereka mendapat
bayaran ganti rugi insurans yang banyak. Apa yang saya tahu mereka
semuanya diugut akan dibunuh jika mendedahkan peristiwa sebenar kepada
pihak polis. Yang pasti di sana wujud monster-monster besar yang
menutupi kes ini termasuk menteri-menteri kerajaan… ia berkaitan dengan
wang dan kuasa. Dan sudah tentu kamu tahu apa yang wang dan kuasa boleh
buat pada kita." jawabnya lagi dengan panjang lebar yang sarat dengan
hujah.
"Oh, ok... ianya sesuatu yang gila pernah saya
dengar. Jadi sekarang berapa umur kamu dan mengapa kamu berada di
Malaysia? Dan... apa yang kamu sedang buat di Malaysia sekarang? Dan
lagi… bilakah peristiwa sedih itu berlaku?" tanya saya bertubi-tubi
kepadanya dengan rasa ingin lebih tahu.
"Kamu agak saya berumur berapa…?"
"Saya tidak mahu mengagak dan saya tidak tahu berapa umur kamu."
"Kisah sedih itu hanya berlaku pada tahun lepas, dan saya tidak mahu
sebut apa bulan dan harinya. Cukuplah kamu tahu ia berlaku pada tahun
lepas. Kini saya berumur 29 tahun dan saya di berada di Malaysia kerana
ingin cuba mendaftar kursus bahasa Arab di ******* University dengan
sahabat wanita Muslimah saya dari Korea itu. Tadi saya bertemu-janji
dengannya untuk bertemu di sini. Kami rakan serumah dan dia tadi
menziarahi rakan kami orang Malaysia di kawasan ini. Saya sampai ke sini
lewat sedikit dengan teksi.” jawabnya berterus-terang dengan nada
jujur.
"Oh, kamu sungguh berani. Di Malaysia tidak ramai
wanita yang berani naik teksi seorang diri pada waktu malam. Terima
kasih kerana menceritakan kisah ini kepada saya.. saya amat
menghargainya dan mudah-mudahan suatu hari Allah akan membalas dendam
untuk kamu dan mangsa-mangsa lain yang telah teraniaya... " kata saya
lagi kepadanya sambil mengangguk-angguk.
"Sudah tentu... !
Suatu hari nanti semua orang dan dunia akan tahu mengenai kejahatan
tersembunyi di bandar Gangnam yang dilaknat itu!" tukasnya dengan nada
yang keras.
"Kamu ingat artis yang mecipta lagu Gangnam gila itu
menyukai cara hidup bandar Gangnam..? Saya rasa dia amat sinis
tentangnya dan dia pernah berasa tertekan dengan cara hidup di sana..
namun kini dia sudah menjadi sebahagian daripada mereka. Semoga Tuhan
melaknat mereka semua. Saya menyerahkan kepada Tuhan untuk membalas
segala kejahatan mereka."
"Whoa... kamu nampaknya sangat
marah dengan Gangnam... " balas saya sambil mengangkat kedua-dua kening
dan menyedut jus tembikai susu yang masih berbaki menggunakan straw.
"Oh, jangan kamu berpura-pura seperti tiada perasaan dan tidak mempunyai perikemanusiaan.." balasnya pantas kepada saya.
"Tidak, tidak... saya benar-benar terkejut dan simpati dengan kisah
kamu. Bahkan di sebalik itu, saya dapat melihat kamu seorang yang tabah,
kuat dan berani." balas saya kembali untuk menenangkannya.
"Oh ya,
adakah kamu datang sini dengan biaya sendiri? Bagaimana dengan suami
kamu dan kerjaya kamu di Korea?" tanya saya kepadanya dengan
meneka-neka.
"Hahaha, saya masih belum bersuami dan saya
telah menjual segala apa yang saya ada di Korea untuk datang ke sini.
Saya mahu belajar bahasa Arab di sini dan merancang mahu ke Mesir atau
ke Islamic Center di Chicago selepas ini untuk belajar lebih banyak
tentang Islam di sana. Kamu juga tahu, Timur Tengah kini tidak stabil
dan saya masih ragu-ragu untuk ke Timur Tengah. Imam yang mengislamkan
saya itu pernah memberitahu saya bahawa dahulunya dia belajar bahasa
Arab dan agama Islam di Syria di sebuah universiti yang namanya An-Nur."
jawabnya dengan reaksi yang kembali ceria sambil tersenyum.
"Oh dulu saya juga pernah belajar di Syria, dan universiti itu namanya Universiti Abu Nur." jawab saya.
"Oh benarkah? Ceritakan kepada saya tentang Syria... saya bertuah
bertemu dengan kamu." tukasnya teruja dengan muka yang sangat gembira.
Sesampainya di sini perbualan kami mula bertukar topik kepada isu
Syria dan pergolakan di Timur Tengah serta topik-topik lain yang sudah
tiada kena-mengena dengan Gangnam. Saya juga bercerita sedikit sebanyak
tentang latar belakang diri saya kepadanya sebagai membalas kisah
hidupnya yang telah dia ceritakan kepada saya.
Lama juga kami
bersembang sejak jam 9.00 malam tadi. Kira-kira jam 10.30 malam rakan
gadis itu datang ke kawasan kedai tersebut dan gadis itu meminta izin
untuk pergi. Dia membayar segala pesanan makanan saya dan memperkenalkan
dirinya sebagai Sofiyyah dan rakannya bernama Nadiah. Katanya nama
mereka berdua diberikan oleh imam yang mengislamkan mereka di bandar
Seoul merangkap guru murabbi mereka di Korea Selatan. Saya pula
beruntung kerana makan malam saya ada orang belanja.
Kedua-dua mereka pernah lahir sebagai manusia yang tidak pernah menganut
sebarang agama di Korea namun kini Allah telah memuliakan mereka dengan
agama Islam yang suci. Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita
Sofiyyah tentang kisah yang berlaku kepada adiknya di Gangnam. Kebenaran
kisah tersebut saya serahkannya bulat-bulat kepada Allah. Namun saya
berminat untuk kongsikan kisah ini kepada para pembaca agar para pembaca
dapat membuat penilaian sendiri. Kisah tersebut mungkin benar dan
mungkin tidak benar. Namun, di sebalik kisah yang saya pindahkan
daripada Sofiyyah ini, dapatlah kita mengetahui sesuatu dan
menjadikannya sebagai pengajaran.
Apa yang saya suka kongsi
satu iktibarnya ialah, saya melihat betapa Sofiyyah amat bersyukur dan
menghargai nikmat Islam yang dikurniakan Allah kepadanya. Dia sanggup
meninggalkan negerinya dan menjual segala hartanya demi mempelajari
bahasa Arab di bumi Malaysia bagi memahami Al-Quran, malah dia
bercita-cita untuk terus mengembara bagi mempelajari ilmu-ilmu Islam dan
menjadi seorang pendakwah Muslimah di negara Korea untuk Islamkan lebih
ramai penduduk Korea. Dia seorang yang amat berani, tabah dan cekal.
Lihat saja, bagaimana dia seorang diri berani menyapa seorang lelaki
asing seperti saya di awal kisah tadi. Apa yang saya lihat padanya,
tiada sebarang ketakutan di dalam dirinya dan harapan hidupnya telah
seratus-peratus diserahkan kepada Allah. Dia telah menjual seluruh jiwa
dan raganya hanya kepada Allah semata-mata. Di sebalik kekuatan dirinya
sekarang, saya juga yakin di belakangnya ada seorang murabbi mursyid
yang hebat, iaitu sang imam yang telah mengislamkannya. Biasanya di
sebalik orang-orang yang hebat, di belakang mereka sudah tentu ada para
pendidik yang jauh lebih hebat lagi. Di dalam hati saya berkata sudah
tentu peribadi sang imam itu lebih hebat lagi kerana berjaya membaiki
diri Sofiyyah menjadi lebih kuat sepertimana sekarang. Ia bukanlah
sesuatu yang mudah untuk memulihkan, mendidik dan membangunkan jiwa
manusia yang sudah rosak teruk seperti Sofiyyah dan menjadikannya
seorang srikandi yang gagah perkasa jiwanya.
Sepanjang
berjalan kaki pulang ke rumah, saya banyak tertanya-tanya di dalam hati
betapa kita ini begitu leka dan tidak bersyukur dengan nikmat beragama
Islam yang telah Allah anugerahkan kepada kita sejak kita dilahirkan ke
alam dunia.
Di dalam hati saya sepanjang pulang, "Allahu
Rabbi... . alhmdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah." Sambil kaki saya
sekali-sekala menyepak batu-batu kecil di jalanan dan kedua-dua tangan
dimasukkan ke dalam poket jubah putih kiri dan kanan seraya muka
menunduk ke arah tanah...
Sehingga saat ini saya masih tetap
berfikir sendirian, kisah Sofiyyah ini ialah apa yang saya dengar
berlaku di negara Korea yang maju.. bagaimana pula dengan kisah-kisah
gelap seperti kisah gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi pelacur kelas
atasan di negara kita. Sudah tentu banyak juga kisah-kisah gelap yang
tidak pernah kita dengar tentang mereka. Sebelum ini saya pernah juga
mendengar mengenai kisah-kisah kongsi gelap di negara kita yang
dilindungi oleh orang-orang besar.
Allahu Allah, betapa
teruknya manusia menjadi hamba wang dan kuasa pada zaman ini... Ya
Allah, selamatkanlah kami di dunia dan di akhirat...
[Kisah benar ini selesai ditulis semula pada: hari Ahad, 07 Oktober 2012, 10.55 AM]
FULL CREDIT : Nurul Ashikin
SOURCE : Here
SHARE!
0 comments:
Post a Comment